INDAH RUHAILA GIAT SUSUN STRATEGI CIPTA NAMA

INDAH RUHAILA GIAT SUSUN STRATEGI CIPTA NAMA


SELEPAS Percayalah melonjakkan nama penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Indah Ruhaila komited meneruskan karier nyanyiannya.
Terus mengatur strategi mengekalkan nama dalam industri, Indah memberitahu dirinya bakal muncul dengan beberapa projek terbaharu.

“Selepas Percayalah, saya sudah merakamkan dua lagu baharu ciptaan penuh oleh komposer Edry Abdul Halim.

“Satu daripadanya masih belum diketahui judulnya dan ia akan dijadikan single ke dua saya. Manakala satu lagi adalah lagu duet bersama Ewal berjudul Cerita Cinta Kita yang turut dijadikan sebagai lagu tema program Pelamin Fantasia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai produk terbaharunya itu, Indah memberitahu single keduanya itu masih mengekalkan genre balada namun dari segi penghayatannya ia lebih mendalam.

“Kalau kita dengar Percayalah, ia lebih menonjolkan muzik yang lebih ringan berbeza dengan single ke dua saya yang boleh dikatakan lebih mendalam.

“Bekerja dengan Edry adalah satu pengalaman yang berharga buat saya memandangkan kebolehan yang dimilikinya sangat luar biasa.

“Walaupun ini pertama kali bekerja dengan Edry, tapi dia tahu apa yang saya inginkan. Sebagai penyanyi yang masih mentah, banyak ilmu yang saya belajar daripadanya,” ujarnya teruja.

Biarpun sibuk menjalani nyanyian solonya, Indah akui tidak mengetepikan peranannya sebagai anggota kumpulan The Lomas yang turut dianggotai tiga finalis wanita AF2013 iaitu Nabila, Amira dan Aisyah Aziz.

“The Lomas masih lagi aktif cuma buat ketika ini kami masing-masing beri fokus pada karier solo terlebih dahulu.

“Sekarang juga kami sedang mencari masa yang sesuai untuk menghasilkan muzik video single Rindu,” jelasnya.
Share This

No comments:

Post a Comment

Bijak Pinjam

Latest

Article

Designed By Blogger Templates