"JIKA itu doa yang baik buat Siti, mohon semua doakan ia jadi kenyataan," demikian penjelasan Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 36, perihal spekulasi hangat kini yang mengatakan beliau mengandung.
Memetik laporan daripada keratan video Astro Awani semalam, Siti mengatakan buat masa sekarang kisah itu biarlah menjadi rahsia buat dirinya terlebih dahulu.
"Seperti yang saya cakap sebelum ini, buat masa ini belum sesuai buat saya memberitahu lebih lanjut," katanya kepada media ketika ditemui pada sidang media selepas berakhirnya Konsert Satu Suara Vol. 2 di Istana Budaya, di sini semalam.
Spekulasi berita tentang kehamilan penyanyi lagu Percayalah itu tersebar selepas Siti memuat naik sekeping gambar yang memaparkan secawan susu kambing dan kurma yang sering dikaitkan dengan wanita mengandung pagi semalam.
Gambar tersebut yang dimuat naik ke laman akaun rasmi Instagram milik penyanyi itu kemudiannya mengundang perdebatan dan komen peminat yang terus membuat andaian bahawa beliau kini sedang hamil.
Siti Nurhaliza mendirikan rumah tangga dengan usahawan terkenal Datuk Khalid Mohamad Jiwa,56, pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sepanjang perkahwinan, pasangan ini masih belum dikurniakan cahaya mata.
No comments:
Post a Comment