SEBUT sahaja nama Rozita Che Wan pasti ramai yang membayangkan kehidupannya yang cukup mewah. Malah, aktres yang mesra disapa Che Ta ini juga sangat terbuka untuk berkongsi kemewahannya bersama peminat dan media.
Jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk, pelakon yang terkenal dengan drama Kiah Pekasam ini menegaskan segala kemewahan yang ada itu adalah hasil dari titik peluhnya sendiri.
Enggan mengambil pusing kritikan yang dilemparkan segelintir pihak terhadap gaya hidupnya itu, aktres yang berusia 45 tahun ini sebaliknya semakin rancak mengembangkan empayar perniagaannya.
"Terpulanglah orang nak kata apa. Saya tak kisah. Adalah lebih penting untuk saya fokus pada perniagaan dan karier seni.
"Alhamdulillah, perniagaan saya juga semakin bertambah baik dan ada sahaja permintaan. Saya juga baru lancarkan produk baharu, losen putih ajaib yang dah terjual 10 ribu unit dalam masa seminggu," katanya yang baharu saja pulang percutian dari Eropah selama 22 hari.
Dilihat kerap bercuti ke luar negara, Che Ta mengakui ia bukan sahaja memberikan kepuasan kepada dirinya, malah ia membuka peluang untuknya memiliki hartanah di sana.
Menurut Che Ta, dia kini dalam perancangan untuk membeli sebuah pangsapuri di kota London.
"Ia adalah idea dari seorang rakan yang pernah membeli hartanah di situ. Lagipun saya suka ke sini (London), jadi apa salahnya saya membeli satu kediaman.
"Selain untuk tujuan pelaburan, ia juga boleh digunakan sebagai tempat persinggahan kami sekeluarga sekiranya kami datang ke sini.
"Jujur saya katakan, saya memang suka tinggal di London. Persekitarannya membuatkan saya rasa tenang sangat dan nak ke mana sahaja semua dekat," katanya yang Ujar Che Ta lagi, suaminya Zain Saidin, pernah memberi cadangan untuk mereka sekeluarga menetap di sana, namun ia masih terlalu awal untuk direalisasikan.
Seiring percutiannya, fesyen yang digayakan aktres jelita ini juga sering mencuri tumpuan ramai. Turut mempamerkannya di laman sosial Instagram miliknya, akui Che Ta, dia sememangnya suka mengumpul koleksi pakaian sehingga tiada ruang untuk disimpan.
"Jangan terkejut! Memang baju saya sangat banyak dan boleh penuh satu rumah. Kebanyakan baju saya pakai cuma sekali sahaja. Selepas itu saya jual semula (preloved).
"Pakaian itu dijual menerusi Instagram yang diuruskan oleh kawan anak saya. Semuanya dijual dengan harga yang sangat murah. Kalau harga asal RM8,000 ribu, saya akan jual dalam harga RM1,500 sahaja.
"Dalam masa satu hingga dua bulan, jualan boleh mencecah sehingga RM40,000. Tapi wang itu saya gunakan untuk tujuan kebajikan. Saya dermakan sebahagian kepada sebuah sekolah tahfiz," katanya yang ditemui ketika sidang media Teh Tarik Che Ta di Angkasapuri, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment